Friday, 14 April 2017

LATIHAN KOMSAS MRSM


PETIKAN PROSA MODEN

i) Pandangan Ahmad Mutawakkil terhadap orang Melayu termasuklah sifat Melayu yang mengamalkan prinsip orang berbudi kita berbahasa. Selain itu, orang Melayu tidak menyukai permusuhan dan lebih menggalakkan persahabatan.

ii) Pada pendapat saya, perkara yang perlu dilakukan untuk mengelakkan penjajahan semula kuasa asing adalah dengan membina jati diri pemuda dan pemudi. Selain itu, integrasi kaum wajarlah dibentuk untuk mengelakkan perpecahan. Di samping itu, semangat patriotik perlulah disemarakkan. Akhir sekali, pemimpin sewajarnya menjalankan hubungan diplomatik dengan negara maju yang lain.

iii) Antara persoalan yang terdapat dalam petikan cerpen di atas termasuklah sikap peramah dan keakraban antara penduduk kampung seperti Tuan Booth yang akan ke surau untuk berbual dengan Imam Ngah Deraman dan Penghulu Ibrahim Sigap. Persoalan yang tidak terdapat di dalam cerpen pula adalah semangat patriotisme dalam perjuangan mendapatkan kemerdekaan
tamsilnya Ahmad Mutawakkil menyeru ahli masyarakat agar mengikis tabiat buruk,  berjuang mengubah sikap dan pandangan sempit bangsa Melayu untuk merdeka.

PETIKAN PROSA TRADISIONAL

i) menyuruh berlengkap bermaksud melakukan persediaan.

ii) Tindakan Sidi Arab setelah mendengar khabar Cau Pandan akan menyerang Melaka adalah beliau lantas berdiri di hadapan baginda Sultan Muzaffar Shah. Kemudian, Sidi Arab menghalakan panah ke Benua Siam dan bertekad untuk membunuh Cau Pandan sambil menarik panahnya.

iii) Antara dua ikhtiar yang boleh dilakukan oleh seorang pemerintah untuk mengelakkan negaranya daripada terlibat dengan peperangan termasuklah menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara-negara lain untuk mendapatkan bantuan ketenteraan dan ekonomi. Selain itu, pemerintah perlu berusaha memantapkan perpaduan antara masyarakat berbilang kaum untuk mengelakkan perpecahan dan pembocoran maklumat.

SYAIR

i) Keadaan rakyat di Negeri Kembayat apabila diserang oleh burung garuda adalah huru hara kerana negeri menjadi gundah gulana dan sekalian rakyat melarikan diri ke merata-rata tempat.

ii) Pada pendapat saya, persediaan yang perlu dilakukan untuk meghadapi musibah di sesebuah negara adalah dengan menyediakan pertahanan yang kukuh dan sistematik. Selain itu, pemimpin juga perlu bersikap bijaksana merancang strategi untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Akhir sekali, sesebuah negara wajarlah mempunyai bekalan makanan dan kelengkapan perubatan yang secukupnya.

iii) Salah satu perwatakan Raja Negeri Kembayat ialah keadilan iaitu sikap adil dan kecemerlangan baginda berjaya menarik kedatangan para pedagang dan orang soleh. Selain itu, Raja Negeri Kembayat juga merupakan pemerintah yang berwaspada kerana  baginda sentiasa memikirkan persediaan untuk menghadapi sebarang kebarangkalian pada masa hadapan walaupun telah dilimpahkan kekayaan dan kesenangan.

NOVEL

a)
Novel yang telah saya kaji ialah Tirani karya Beb Sabariah. Pengarang telah memaparkan beberapa latar tempat yang menerangkan peristiwa penting dalam novel ini.

Antara latar tempat yang ditonjolkan dalam novel ini adalah Tajau Emas iaitu homestay yang diusahakan oleh Waheeda dan keluarganya untuk mempamerkan kebudayaan di negeri Sarawak. Homestay tersebut mendapat sambutan yang hangat terutamanya ketika waktu cuti. Ibu Waheeda iaitu Puan Raidah bekerja sebagai tukang masak manakala ayahnya, Encik Fadhil bekerja sebagai pemandu pelancong. Waheeda berjaya memajukan perusahaan homestay tersebut dan menjalankan hubungan bisnes dengan cawangan hotel lain seperti Seri Gading.

Seterusnya, latar tempat Silicon Medical Centre di Singapura juga dipamerkan dalam novel oleh pengarang. Waheeda telah berangkat ke Singapura untuk menjalankan pembedahan plastik ke atas hidungnya yang telah diserang oleh monyet. Di hospital tersebut, Waheeda telah berjumpa dengan Dr. Rushdi yang bertanggungjawab ke atas pembedahannya.Waheeda berkunjung ke hospital tersebut buat kali kedua untuk membetulkan tulang hidungnya yang runtuh.

b)
Novel yang telah saya kaji ialah Tirani karya Beb Sabariah. Salah satu perwatakan yang memberikan impak negatif dan tidak wajar dicontohi ialah watak Zahid yang bersifat buruk sangka dan menghina ciptaan tuhan.

Peristiwa yang membuktikan perwatakan ini adalah apabila Zahid berasa tidak senang akan kelahiran anaknya, Izati dan telah melemparkan kata-kata yang tidak sepatutnya kepada Waheeda dan bayi yang tidak berdosa itu, Zahid telah memarahi Waheeda dengan menuduhnya mengadakan hubungan dengan lelaki lain tanpa sebarang penjelasan atau soal selidik terlebih dahulu. Hal ini didorong oleh perasaan cemburu dan sikap Zahid yang panas baran. Oleh hal yang demikian, dia telah melukakan hati Waheeda dan menceraikannya dengan talak satu.

Bukan itu sahaja, Zahid tidak boleh menerima kenyataan bahawa Izzati merupakan anak kandungnya kerana rupa bayi tersebut yang hodoh dan tidak comel seperti yang disangkakan. Sikap Zahid yang tidak bersyukur dengan anugerah Tuhan yang telah dikurniakan haruslah dijauhi. Dia telah mencerca Izzati di hadapan bayi tersebut dan tidak mengaku bahawa itu anaknya walaupun sudah ada bukti.  Natijahnya, dia telah mengabaikan Izzati dan Waheeda.



Monday, 13 March 2017

PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM2016 ( MELAKA)

BAHAGIAN A

LANGKAH-LANGKAH MEMAJUKAN BIDANG SUKAN DI NEGARA KITA


Marcapada, perkembangan sukan di negara kita semakin pesat dan menjadi tumpuan di peringkat global. Kejayaan wira negara dalam arena sukan di peringkat antarabangsa berjaya mengharumkan nama negara dan mengangkat Malaysia di mata dunia. Walau bagaimanapun, Malaysia masih memerlukan banyak pelapis dan kemajuan dalam bidang sukan untuk berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara lain. Terdapat banyak langkah proaktif yang boleh diambil untuk memajukan bidang sukan di negara kita.

            Salah satu langkah untuk memajukan arena sukan di negara kita adalah dengan menyediakan latihan secara intensif. Hal ini adalah penting untuk mempersiapkan atlet dalam pertandingan dan agar mereka dapat menumpukan perhatian yang sepenuhnya.  Sebagai buktinya, atlet perlu dilatih oleh jurulatih profesional secara kerap dan konsisten. Walaupun latihan intensif menggunakan kos yang agak tinggi namun hasilnya amat memuaskan bak kata leluhur alah membeli, menang memakai. Teranglah bahawa latihan intensif adalah salah satu penyumbang kepada kemajuan arena sukan Malaysia.

            Selain itu, para atlet juga perlulah diberikan pendedahan dalam kejohanan antarabangsa agar mereka mempunyai pengalaman yang secukupnya bak kata cendekiawan jauh perjalanan, luas pandangan. Isu ini perlu diketengahkan kerana belakangan ini terdapat banyak kejohanan antarabangsa yang menawarkan pulangan yang lumayan dan dapat mengangkat nama Malaysia ke persada dunia. Tamsilnya, pertandingan antarabangsa seperti Sukan SEA, Olimpik dan Sukan Komanwel. Penglibatan sukan dapat menjadikan Malaysia lebih mahsyur apabila kita berjaya memenangi pingat atau menunjukkan prestasi permainan yang mengagumkan. Jelaslah bahawa pendedahan tentang pertandingan antarabangsa merupakan aspek penting untuk memajukan bidang sukan Malaysia.

            Bukan itu sahaja, pihak berkenaan iaitu Kementerian Belia dan Sukan wajarlah menyediakan prasarana yang mencukupi agar latihan yang dijalankan lebih berkualiti. Perkara ini perlu diambil serius kerana masih ada pusat sukan yang tidak dilengkapi dengan prasarana dan kemudahan yang mencukupi membuatkan latihan tidak dapat dijalankan dengan efisien. Contohnya prasarana seperti gelanggang, kelengkapan dan alatan sukan perlulah diselenggara secara berkala supaya prestasi sukan dapat ditingkatkan. Sudah terang lagi bersuluh bahawa faksiliti dan prasarana merupakan elemen penting dalam melahirkan atlet yang berkualiti.

            Akhir sekali, bidang sukan dapat dimajukan dengan menyediakan imbuhan yang lumayan bagi menarik lebih ramai orang untuk menceburi profesion sukan. Hal ini dikatakan demikian kerana semangat kesukanan yang tinggi akan meningkatkan persaingan untuk mendapatkan kemenangan. Oleh itu, imbuhan yang lumayan akan membuatkan atlet lebih bersungguh-sungguh untuk menjadi juara. Sebagai misalannya, pihak kerajaan boleh menyediakan ganjaran seperti wang ringgit, basikal atau tiket pelancongan. Tegaslah bahawa, imbuhan yang lumayan juga dapat meningkatkan prestasi para atlet dan meningkatkan semangat kesukanan.

            Konklusinya, semua pihak seyogianya berganding bahu dalam menjalankan usaha prakmatik untuk memajukan arena sukan Malaysia bak kata leluhur ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni. Inisiatif yang dicadangkan diharapkan agar dapat melahirkan atlet yang berkualiti dan merealisasikan impian Malaysia untuk menjadi setaraf dengan negara lain dalam bidang sukan sesuai dengan slogan “majulah sukan untuk negara”.



BAHAGIAN B
Anda ingin menyertai pertandingan menulis esei bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan di tempat anda. Tajuk yang anda pilih ialah “ Ke Arah Melahirkan Patriotisme dalm Kalangan Masyarakat”. Tulis esei anda selengkapnya.
           Dasar warsa, patriotisme yang didefinisikan sebagai semangat cinta akan negara dalam kalangan masyarakat kian luntur dek kemodenan dan kemajuan yang kian pesat. Natijahnya, masyarakat Malaysia semakin lupa akan pengorbanan para pejuang bangsa untuk membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajah. Isu nasionalisme sering menjadi polemik di media massa sama ada media cetak mahupun media elektronik. Kelunturan semangat patriotik amat membimbangkan kerana perasaan cinta akan negara dan jati diri anak watan semakin terhakis maka wujudlah kemelut sosial dan masalah seperti penyalahgunaan dadah dan pembuangan bayi yang timbul bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Oleh itu, usaha prakmatik perlu diambil ke arah melahirkan patriotisme dalam kalangan masyarakat 1Malaysia.
            Salah satu langkah proaktif yang wajar dilaksanakan untuk memupuk patriotisme adalah melalui peranan ibu bapa. Hal ini dikatakan demikian kerana ibu bapa merupakan insan yang paling rapat dengan anak-anak dan tonggak utama untuk membentuk peribadi mereka. Ibu bapa sewajarnya menjadi suri teladan kepada anak-anak bak kata leluhur ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Misalannya ibu bapa boleh membawa mereka melawat tempat bersejarah seperti Kota A’ Famosa atau Tugu Negara supaya dapat mendedahkan anak-anak kepada perjuangan dan pengorbanan tokoh bersejarah suatu masa dahulu. Bukan itu sahaja, ibu bapa juga boleh membelikan buku atau DVD yang bertemakan nasionalisme supaya dapat menanam semangat cinta akan tanah air dalam diri mereka. Teranglah bahawa ibu bapa memainkan peranan penting untuk memupuk patriotisme dalam diri anak-anak.
            Seterusnya, semangat patriotik dapat disemarakkan lagi melalui peranan guru dan pihak sekolah. Perkara ini adalah kerana masa banyak diluangkan di sekolah atau institusi pelajaran. Oleh sebab itu, pihak sekolah memainkan peranan yang besar dalam membentuk semangat cinta akan negara sejak bangku sekolah lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Penerapan nilai patriotik boleh disampaikan melalui matapelajaran sejarah dan pendidikan sivik dan kewargenegaraan yang banyak mengajar tentang sejarah kemerdekaan dan pengorbanan tokoh. Pihak sekolah juga boleh mengadakan pertandingan yang bertemakan kemerdekaan seperti pidato, syarahan, bahas, melukis poster dan video pendek. Aktiviti yang menarik dan ganjaran yang lumayan semestinya akan menarik minat pelajar di samping mendedahkan mereka tentang perjuangan tokoh lampau dalam membebaskan tanah air dari penjajahan. Nasionalisme juga dapat disemarakkan lagi melalui sambutan hari kemerdekaan pada 31 ogos setiap tahun dengan menghias kawasan sekolah dan menayangkan video tentang kemerdekaan. Jelaslah bahawa pihak sekolah perlu mengambil inisiatif dalam menyemai patriotisme dalam kalangan pelajar.
Di samping itu, pihak bertanggungjawab juga boleh memanfaatkan media massa sebagai medium penyebaran semangat nasionalisme memandangkan dunia kini lebih cenderung ke arah teknologi yang menjadi semakin canggih dari semasa ke semasa. Oleh hal yang demikian, cerita tentang tokoh kemerdekaan dan peritstiwa bersejarah dapat diwar-warkan dengan lebih cepat dan meluas. Sebagai tamsilnya, tayangan video yang berunsurkan kemerdekaan seperti cerita “Bravo”, “Bukit Kepong” dan “Paloh” menyampaikan mesej-mesej kemerdekaan yang berjaya membuka mata anak muda tentang perjuangan wira negara dan pertumpahan darah yang telah berlaku pada suatu masa dahulu. Nasionalisme juga boleh disebarkan melalu penulisan seperti akhbar, puisi, majalah dan bahan bacaan ilmiah sekaligus dapat memupuk minat membaca bak kata cendekiawan menyelam sambil minum air.Kesedaran seperti ini akan membuatkan semangat cinta akan negara dalam diri masyarakat semakin menebal agar penjajahan dan penindasan tidak akan berulang. Tegaslah bahawa, penggunaan media massa sebagai platform penyebaran maklumat berkaitan dengan semangat patriotisme ini akan memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan  semangat patriotik demi keamanan negara.
Selain itu, pihak kerajaan dan masyarakat setempat juga boleh mengadakan kempen secara besar-besaran untuk memberi kesedaran kepada rakyat tentang pengorbanan pejuang negara dan perit getir yang telah dilalui demi memperjuangkan kemerdekaan sehingga kita dapat hidup dengan aman damai pada masa kini. Isu ini amat penting kerana kita seharusnya menghargai pertumpahan darah mereka suatu ketika dahulu. Pelbagai pertubuhan dan program yang boleh dilakukan terutamanya pada bulan kemerdekaan seperti Sambutan Hari Kemerdekaan peringkat kebangsaan yang diadakan di Stadium Merdeka. Semasa sambutan tersebut, Jalur Gemilang akan dikibarkan, lagu patriotik didendangkan dan perbarisan prajurit negara dipersembahkan yang semestinya dapat menyentuh jiwa merdeka dan menitiskan air mata syukur. Patriotisme boleh disemarakkan lagi jika masyarakat 1Malaysia berganding bahu menyokong kempen dan prakarsa yang dilaksanakan oleh kerajaan seperti kempen “Kibar Jalur Gemilang” dan Hari Malaysia . Izharlah bahawa kesedaran masyarakat dapat ditingkatkan melalui sambutan Hari Kemerdekaan dan kempen. Jelaslah bahawa, inisiatif pihak kerajaan merupakan aspek penting untuk mengekalkan semangat nasionalisme bangsa 1Malaysia.
Akhir sekali, penduduk kampung dan kawasan kejiranan sewajarnya bersifat bagai aur dengan tebing bagi memeriahkan kawasan tempat tinggal dengan menggunakan jalur gemilang sebagai hiasan atau menghadirkan diri ke sambutan kemerdekaan. Pelbagai pertubuhan boleh dibentuk dengan melibatkan para belia seperti mengadakan kutipan dana kepada bekas askar dan keluarga mereka bagi memperingati dan menghargai budi yang telah ditabur kepada negara. Tambahan pula, aktiviti yang dilakukan bersama-sama dapat mewujudkan integrasi nasional kerana Malaysia terdiri daripada masyarakat majmuk yang berbilang kaum. Apabila masyarakat berpegang teguh kepada frasa “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh” maka perpaduan yang kukuh akan menghalang anasir jahat dari pada menjajah ibu pertiwi buat kali kedua, Sudah terang lagikan bersuluh bahawa perpaduan dan kerjasama masyarakat setempat dalam menyemarakkan nasionalisme akan membuatkan Malaysia kekal aman dan sentosa.
Intihanya, masyarakat 1Malaysia seyogianya bersatu padu ke arah menanam semangat patriotik dalam kalangan masyarakat bak kata leluhur berat sama dipikul, ringan sama dijinjing agar tanah air kita tidak berada di bawah cengkaman komunis. Penjajahan pada masa lampau selama beratus tahun wajarlah menjadi iktibar kerana Ibnu Khaldun pernah menekankan bahawa sesiapa yang melupakan sejarah akan mengulanginya. Jika Malaysia jatuh ke tangan yang salah maka kebebasan tidak akan dirasakan lagi. Oleh itu, kita perlulah mempertahankan kemerdekaan dengan menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat dan semoga Malaysia kekal aman dari segala ancaman.
           
           
           



Wednesday, 22 February 2017

Latihan Pengukuhan Peribahasa

Beri maksud peribahasa yang diberi di bawah dan bina ayat daripada peribahasa tersebut.
Latihan 1:

1. bagaikan kera mendapat bunga
Maksud : mendapat pemberian yang sia-sia

2. kerana lembu seekor membawa lumpur, semuanya terpalit
Maksud : seorang yang berbuat salah, semua terbawa-bawa

3. burung terbang dipipiskan lada
Maksud : Mengharapkan sesuatu yang belum pasti dapat dimiliki

4. menegakkan benang yang basah
Maksud : mempertahankan sesuatu yang terbukti salah

5. bagaikan telur dihujung tanduk
Maksud : Keadaan yang sangat genting.

6. ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya
Maksud : orang besar yang mulia tidak akan hilang pangkat dan martabatnya

7. bagaikan tikus jatuh di kepuk
Maksud : mendapat keuntungan yang banyak secara tiba-tiba

8. matinya semut kerana gula
Maksud : mendapat kesusahan kerana tamak akan harta benda

9. air dicincang tidak akan putus
Maksud : pergaduhan antara adik-beradik tidak akan berpanjangan malah akan berbaik semula.

10. bagaikan embun di hujung rumput
Maksud : Kasih sayang yang tidak berkekalan

Latihan 2:

1. seperti mendukung biawak hidup
Maksud : Melakukan pekerjaan yang sangat menyusahkan diri; mempunyai anak atau isteri yang sangat menyusahkan hati.

2. sudah jatuh ditimpa tangga
Maksud : ditimpa nasib malang yang berturut-turut.

3. kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan
Maksud : mementingkan orang lain berbanding keluarga sendiri

4. ditelan mati emak, dibuang mati bapak
Maksud : Berada dalam situasi atau keadaan yang serba salah, dilema

5. kalau tidak berada-ada, masakan tempua bersarang rendah
Maksud : Tentu ada maksud tersembunyi seseorang berlaku secara luar biasa.

6. bagaikan anjing dengan bayang-bayang
Maksud : Orang yang tamak akan harta orang lain tetapi hilang harta sendiri

7. sekilas ikan di air, sudah kutahu jantan betina
Maksud : Telah tahu keadaan sebenar walaupun hanya melihat luarannya sahaja

8. genggam bara api biar sampai menjadi arang
Maksud : Mengerjakan sesuatu yang sukar hendaklah sabar, sehingga mencapai kejayaan.

9. bagai mencurah air ke daun keladi
Maksud : memberi nasihat yang sia-sia

10. kuman di seberang laut Nampak, gajah di depan mata tak Nampak
Maksud : Kesalahan orang lain sedikit saja tampak, tapi kesalahan sendiri justeru tidak tampak.

Latihan 3:

1. Bagaikan lalat mengharung najis/ tahi
Maksud : di mana ada punca rezeki/ keramaian, di situlah orang ramai berkumpul.

2. Seperti cendawan tumbuh selepas hujan
Maksud : muncul terlalu banyak pada sesuatu masa

3. sehari sehelai benang, lama-lama menjadi kain
Maksud : usaha gigih yang berterusan.

4. seperti pelanduk dua serupa
Maksud : Dua orang yang mempunyai wajah yang seiras atau serupa.

5. melentur buluh biarlah dari rebungnya
Maksud : Mendidik anak biarlah semasa mereka kecil lagi.

6. seperti ular kena palu
Maksud : Keadaan jalan yang bengkang-bengkok.

7. mati semut kerana gula
Maksud : mendapat kesusahan kerana tamak akan harta benda

8. bagai mendapat durian runtuh
Maksud : mendapat keuntungan yang banyak tanpa diduga

9. umpama tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain
Maksud : Dua orang yang rapat bergaul tetapi mempunyai cita-cita yang berbeza.

10. mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan
Maksud : Melepaskan apa yang ada semata-mata hendak mengejar keuntungan yang lebih besar, tetapi akhirnya mengalami kerugian.

Latihan 4
Beri peribahasa yang sesuai dengan ayat yang dinyatakan tersebut.

1. Kata-kata dan janji manis yang diberi oleh calon yang bertanding dalam pilihanraya itu tidak disukai oleh penduduk di kawasan itu kerana janji yang ditabur tersebut mempunyai maksud yang tertentu.
Umpama menanam tebu di tepi bibir.

2. Selepas pertandingan memilih calon wakil rakyat itu berakhir, semua pihak yang bermusuhan telah berbaik-baik semula seperti sediakala.
Biduk berlalu kiambang bertaut.

3. Walaupun sudah sepuluh tahun berhijrah ke luar negara untuk mencari rezeki, namun kehidupan Encik Izkram masih juga susah apabila dia pulang ke kampung halamannya.
Seperti itik pulang petang.

4. Walaupun berbadan besar dan kelihatan garang namun sebenarnya En. Mohd. Ramsul seorang guru yang baik hari ,lemah lembut, dan penyanyang.
Meriam buluh.

5. Walaupun keluarga Encik Mohd. Salam cuba menyembunyikan kisah anaknya terlibat dalam rasuah,namun akhirnya rahsia tersebut tersebar juga kepada orang ramai.
Mulut tempayan boleh ditutup, mulut manusia tidak boleh ditutup.

6. Hanya Husaini sahaja yang nakal di kelas itu tetapi semua pelajar di sekolah itu menganggap pelajar kelas tersebut sebagai kelas pelajar-pelajar nakal.
Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

7. Walaupun asalnya Saidiyah seorang pelajar yang lembam namun setelah diajar dengan bersungguh-sungguh oleh guru-gurunya, akhirnya dia berjaya dalam peperiksaan itu dengan Cemerlang.
Belakang parang jika diasah lagikan tajam.

8. Farislullah seorang pelajar yang tidak tahu bermain badminton tetapi cuba mengambil bahagian dalam pertandingan badminton peringkat Daerah Perak Tengah.
Jika kail panjang sejengkal, lautan dalam usah diduga.

9. Setelah merantau di India lebih tujuh tahun, akhirnya Faleh pulang dan menetap semula di
 kampungnya yang terletak di Negeri Sembilan.
Seperti belut pulang ke lumpur.

10. Perbuatan Syaidiyah menasihati kekasihnya yang bernama Farislullah supaya berhenti merokok
 sia-sia sahaja kerana tidak diendahkan sama sekali oleh kekaksihnya itu.
Seperti mencurah air ke daun keladi.

Thursday, 9 February 2017

Latihan Ejaan dan Imbuhan

Dalam setiap ayat di bawah, terdapat satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan penggunaan imbuhan. Kenal pasti dan betulkan kesalahan-kesalahan itu dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya. 

1. Pengusha ternakan ayam diminta tidak menjual ayam ternakan mereka dengan harga tinggi suka hati kepada pemborong ayam. 

Pengusha   - pengusaha
suka            - sesuka

2. Pembenaan jambatan di kampung itu tergendala selama berapa bulan kerana masalah bekalan simen. 

pembenaan   - pembinaan
berapa            - beberapa

3. Junainah hanya terdiam diri apabila disindir oleh rakan setugasnya kerana dia tidak mahu membesar-besarkan cerita yang dianggap rimih itu. 

terdiam   - berdiam
rimih       - remeh

4. Perompak yang sangat merbahaya itu Berjaya diberkas berdasarkan bukti yang ditemui oleh pihak polis. 

merbahaya   - berbahaya
Berjaya         - berjaya

5. Semua pelajar di sekolah itu diwajibkan melibat diri dalam kegiatan ko-kurikulum yang     dijalankan. 

melibat             - melibatkan
ko-kurikulum  - kokurikulum

6. Walaupun telah lama berada di luar Negara, sikap Daud yang keanak-anak masih tidak     berubah. 

keanak-anak   - keanak-anakkan
Negara             - negara

7. Satu lapuran lengkap tentang kejadian kemalangan yang dilibatkan bas ekspres itu diserahkan kepada Menteri Pengangkutan. 

lapuran       - laporan
dilibatkan   - melibatkan

8. Kosmitik yang dibuat daripada bahan yang beracun tidak dibenarkan jualan di negara ini. 

kosmitik   - kosmetik
daripada   - daripada

9. Kedudukkan Lim Ah Boon di syarikat ayahnya dicemburu oleh adik-beradiknya. 

kedudukkan   - kedudukan
dicemburu      - dicemburui

10. Panel hakim memutuskan pihak pembangkang menang dalam debatan itu kerana pihak pencadang gagal mengemukakan definasi tajuk perbahasan dengan tepat. 

debatan   - perdebatan
definasi   - definisi

11. Beranika jenis barang dijual di kedai yang meletak di hujung jalan itu dan harga yang       ditawarkan berpatutan juga.

beranika   - beranika
meletak    - terletak

12. Pelancung asing yang datang ke majlis kebudayaan itu turut terhibur oleh persembahan tarian  asli yang ditontonkan.  

Pelancung   - pelancong
ditotonkan  - dipertontonkan

13. Calun lepasan Sijil Pelajaran Malaysia yang ingin melanjutkan pelajaran diingatkan supaya menyertakan semua salinan sijil yang telah disah oleh pihak sekolah.  

Calun   - calon
disah    - disahkan

14. Kehabisan peterol menyebabkan pelumba kereta dari Ghana itu tidak dapat menamatkan perlumbaan kerana suntuk masa. 

peterol   - petrol
suntuk   - kesuntukan

15. Peninju yang berbadan gempal itu berjaya tumbang pencabarnya pada pusingan yang       kelima. 

tumbang   - menumbangkan
kelima       - ke-lima

16. Oleh sebab dia menghadap masalaah kewangan, dia terpaksa menolak tawaran yang       diberikan oleh pegawai harta tanah itu. 

masaalah        - masalah
menghadapi   - menghadapi

17. Masih banyak orang yang mempercayai kaedah perubatan tradesional kerana mereka       menganggap kaedah tersebut mampu menyembuhi pelbagai penyakit kronik. 

tradesional      - tradisional
menyembuhi   - menyembuhkan
18. Runtuh akhlak dalam kalangan remaja mengakibatkan ramai remaja tersebut terjebak dengan gejala gengsterisma. 

runtuh              - keruntuhan
gengsterisma   - gangsterisme

19. Lepasan sekolah teknik dan vokaysional akan diberi peluang bagi menceburi diri dalam bidang perniagaan dan industri kecil. 

vokaysional   - vokasional
menceburi     - menceburkan

20. Walaupun tewas tetapi pasukan bola sepak remaja kebangsaan mempamirkan permainan yang menarik dan penuh semangat sukan.

mempamirkan   - mempamerkan
sukan                   - kesukanan

21. Kanak-kanak itu bertepok tangan sebaik-baik sahaja persembahan nyanyian sempena      disambut kemerdekaan tanah air selesai. 

bertepok   - bertepuk
disambut  - sambutan

22. Selepas upacara peresmian dewan, pegawai daerah itu dibawa lawatan ke bilik seminar. 

peresmian   - perasmian
lawatan        - melawat

23. Pendidikan pra-sekolah dikenalkan kepada kanak-kanak dalam lingkungan usia 4 hingga 6 tahun bagi tujuan mendedahkan mereka pada persekitaran sosial. 

pra-sekolah   - prasekolah
dikenalkan    - diperkenalkan

24. Atlit yang mewakili negara dalam Sukan Asia akan menerima imbuhan sekiranya menangi pingat dalam acara yang disertai. 

Atlit           - Atlet
menangi   - memenangi

25. Pemandu teksi di ibu kota sudah biasa diperangkap dalam kesesakan jalanraya terutama pada waktu puncak. 

diperangkap   - terperangkap
jalanraya         - jalan raya

26. Pilihan raya kecil di kawasan itu bakal mengadakan berikutan kematian ahli parlimennya pada awal minggu lepas.

Pilihan raya   - pilihanraya
mengadakan  - diadakan
 
27. Kami singgah di Restoren Dusun untuk menikmati pelbagai hidangan dan masak tradisional Melayu pada minggu yang lalu.

Restoren   - Restoran
masak        - masakan
  
28. Lima orang lelaki yang disyaki mencolek anak hartawan itu telah tertangkap oleh pihak polis di sebuah gudang kosong yang terletak di Ipoh. 

mencolek   - menculik
tertangkap - ditangkap

29. Kelayakkan dalam bidang perakaubenan sangat penting kepada seseorang yang ingin melibat diri dalam lapangan perniagaan. 

Kelayakkan   - kelayakan
melibat          - melibatkan

30. Majlis pelancaran album baharu penyanyi popular itu telah diadakan secara besar-besar di sebuah hotel terkemuka di ibu kota.

besar-besar    - besar-besaran

 
31. Jabatan Alam Sekitar akan bertindak tegas kepada mana-mana pehak yang melakukan kebakaran secara terbuka untuk menangani masalah jerebu yang semakin meruncing.

pehak           - pihak
kebakaran   - pembakaran

32. Jabatan Pengangkutan Jalan akan menguatkuasa undang-undang dari semasa ke semasa untuk mendisplinkan pengguna jalan raya terutama pada musim perayaan.

menguatkuasa   - menguatkuasakan
mendisplinkan  - mendisiplinkan
 
33. Sebagai anak, kita mestilah sentiasa menjaga marwah keluarga dengan menghindari diri daripada perbuatan yang mengaibkan keluarga.

marwah         - maruah
menghidari   - menghindarkan

34. Penduduk Kampung Permai sedang bergotong royong untuk memperlebarkan jalan kerana bilangan kenderaan yang melalui kampung itu semakin bertambah.

memperlebarkan   - memperlebar
bergotong royong  - bergotong-royong
 
35. Dalam majlis itu, pelbagai persembahan telah mengadakan sempena hari keputeraan       baginda yang ke 52 tahun.

mengadakan   - diadakan
ke 52                 - ke - 52
 
36. Mereka kesali sikap pihak kontrekter yang tidak dapat menyiapkan projek perumahan tersebut mengikut jadual yang terdapat dalam butir-butir perjanjian.

kesali            - menyesali
kontrekter   - kontraktor  

37. Untuk mempastikan komputer sentiasa selamat samada daripada serangan virus atau daripada penceroboh sistem komputer, beberapa panduan telah disediakan oleh pembekal.

mempastikan   - memastikan
samada              - sama ada
  
38. “Saya mempunyai kaki tangan yang berpengalaman luas dalam bidang kecantikan termasuk khidmatan menggunting rambut,” katanya dengan ramah.

kaki tangan   - kakitangan
khidmatan    - khidmat
 
39. Dalam perhimpunan raksaksa itu, Perdana Menteri telah menasihatkan rakyat supaya sentiasa bersatu padu untuk mengekalkan perpaduan yang sudah terjalin sekian lama.

menasihatkan   - menasihati
raksaksa             - rasaksa

40. Untuk membenteras kejadian jenayah yang semakin berleluasa, pihak kerajaan mestilah memperbesarkan pasukan anggota polis dengan menambahkan bilangan anggotanya.

membenteras          - membanteras
memperbesarkan   - memperbesar 

41. Dalam sambutan ulang tahun kemerdekaan kali ke 51 itu, pelbagai acara telah dirancangkan termasuk acara boria yang akan disembahkan oleh peserta dari negeri Pulau Pinang.

ke 51                   - ke - 51
dirancangkan   - dirancang

42. Semua ejensi kerajaan diarahkan bergabung untuk menjalani kajian bagi mencari punca sebenarnya yang menyebabkan berlakunya banjir besar sejak beberapa hari yang lalu.

ejensi           - agensi
menjalani   - menjalankan 

43. Kerajaan menggubalkan sesuatu dasar pertanian berasaskan keperluan negara dengan mengambil kira masa depan sektor pertanian supaya sektor berkenaan dapat diurus dengan lebih efisyen.

menggubalkan   - menggubal
efisyen                 - efisien

44. Sistem perkhidmatan kaunter yang disediakan di semua stesyen bas ekspres telah dikenali bagi memudahkan pengguna serta meningkatkan perkhidmatan pengangkutan di negara kita.

stesyen   - stesen
dikenali  - dikenalkan
 
45. Bersempena dengan sambutan hari ibu, kita digalakkan untuk menghadiahkan ibu kita dengan hadiah yang bertujuan untuk mengenang jasa mereka membesar kita sehingga dewasa. 

membesar   - membesarkan

46. Kementerian Pelajaran mendapati bahawa perlaksanaan dasar bahasa Inggeris dalam matapelajaran sains dan matematik perlu dikaji semula untuk memperbaiki kelemahan yang timbul.

perlaksanaan   - pelaksanaan
matapelajaran - mata pelajaran
 
47. Berita tentang kejayaan seorang pengkaji sejarah menemui pusara lama berusia 3000 tahun di  pinggir sungai itu telah merebak ke seloroh negara.

menemui   - menemukan
seloroh       - seluruh

Tuesday, 7 February 2017

Latihan Pemenggalan Ayat

LATIHAN PEMENGGALAN AYAT 

Sambung ayat-ayat pendek dalam petikan di bawah ini supaya menjadi tiga ayat saja tanpa mengubah susunan dan makna asal ayat-ayat tersebut. 

Latihan 1

Beberapa jenis binatang liar menghuni hutan belantara negara kita. Binatang-binatang liar tersebut menjadi penghuni hutan sejak beberapa lama dulu. Kini binatang liar tersebut menghadapi kepupusan. Kepupusan ini berpunca daripada kegiatan manusia. Manusia berburu sesuka hati mereka. Kepupusan berpunca daripada kegiatan pembangunan. Antara langkah untuk membendung kepupusan hidupan liar adalah dengan mengadakan kempen kesedaran. Penyelidikan terhadap hidupan liar juga boleh dilakukan.

Beberapa jenis binatang liar menghuni hutan belantara negara kita sejak beberapa lama dulu. Kini binatang liar tersebut menghadapi kepupusan berpunca daripada kegiatan manusia yang berburu sesuka hati mereka dan kegiatan pembangunan. Antara langkah untuk membendung kepupusan hidupan liar adalah dengan mengadakan kempen kesedaran dan penyelidikan terhadap hidupan liar.

Latihan 2
 
Televisyen merupakan salah satu media sebaran am. Televisyen direka untuk memberikan manfaat kepada manusia. Manfaat tersebut adalah dalam pelbagai aspek. Malangnya, akhir-akhir ini kemunculan televisyen dikatakan membawa pelbagai masalah pula. Pelbagai penyelidikan terhadap kesan televisyen kepada masyarakat telah dilakukan. Hasil penyelidikan tersebut menunjukkan bahawa adegan-adegan ganas dalam siaran televisyen dapat mempengaruhi masyarakat. Malangnya, para penerbit filem masih membisu terhadap hasil penyelidikan tersebut. Mereka menegaskan bahawa para penonton terhibur oleh adegan-adegan yang dipaparkan. 

Televisyen merupakan salah satu media sebaran am yang direka untuk memberikan manfaat kepada manusia dalam pelbagai aspek malangnya akhir-akhir ini kemunculan televisyen dikatakan membawa pelbagai masalah pula. Pelbagai penyelidikan terhadap kesan televisyen kepada masyarakat telah dilakukan menunjukkan bahawa adegan-adegan ganas dalam siaran televisyen dapat mempengaruhi masyarakat. Malangnya, para penerbit filem masih membisu terhadap hasil penyelidikan tersebut malah menegaskan bahawa para penonton terhibur oleh adegan-adegan yang dipaparkan. 

Latihan 3

Unsur-unsur keganasan terdapat dalam rancangan-rancangan di televisyen. Rancangan-rancangan tersebut disiarkan oleh RTM. Rancangan-rancangan tersebut terdapat di TV3 juga. Sejak akhir-akhir ini penyiaran rancangan yang bercorak keganasan itu meningkat. Hal ini membimbangkan ibu bapa. Mereka bimbang kalau-kalau unsur-unsur tersebut mempengaruhi pemikiran kanak-kanak dan golongan remaja. Golongan-golongan ini belum bijak menilai sesuatu yang baik. Mereka tidak bijak menilai sesuatu yang buruk juga. 

Unsur-unsur keganasan terdapat dalam rancangan-rancangan di televisyen yang disiarkan oleh RTM dan TV3. Sejak akhir-akhir ini penyiaran rancangan yang bercorak keganasan itu meningkat dan membimbangkan ibu bapa. Mereka bimbang kalau-kalau unsur-unsur tersebut mempengaruhi pemikiran kanak-kanak dan golongan remaja yang belum bijak menilai sesuatu yang baik dan buruk.

Latihan 4

Kementerian Pelajaran telah memperkenalkan pendidikan asas komputer. Pendidikan ini adalah untuk para pelajar di negara ini. Langkah Kementerian Pendidikan ini dialu-alukan oleh ibu bapa. Hal ini kerana langkah ini dapat membantu mengisi kekosongan dalam bidang berkenaan. Kekosongan tersebut ketara sekali di sekolah luar bandar. Banyak pihak yang berharap agar langkah kerajaan ini memberikan peluang kepada pelajar luar bandar mempelajari komputer. Langkah ini diharapkan dapat menarik minat pelajar mendalami bidang komputer juga.  

Kementerian Pelajaran telah memperkenalkan pendidikan asas komputer untuk para pelajar di negara ini. Langkah Kementerian Pendidikan ini dialu-alukan oleh ibu bapa kerana langkah ini dapat membantu mengisi kekosongan dalam bidang berkenaan terutama sekali di sekolah luar bandar. Banyak pihak yang berharap agar langkah kerajaan ini memberikan peluang kepada pelajar luar bandar mempelajari komputer sekali gus dapat menarik minat pelajar mendalami bidang komputer.   

Latihan 5

Bercuti ke Pulau Sayak ialah judul sebuah buku. Buku ini tergolong dalam jenis novel kanak-kanak. Buku ini dikarang oleh Darulsalam. Buku ini terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Bercuti ke Pulau Sayak menceritakan kisah seorang budak lelaki bernama Syahid bersama-sama dengan rakannya. Mereka bercuti ke Pulau Sayak. Mereka terlibat dengan satu kumpulan penyeludup tanpa disedari. Nasib mereka baik kerana akhirnya mereka berjaya menewaskan kumpulan itu.

Bercuti ke Pulau Sayak ialah judul sebuah buku yang tergolong dalam jenis novel kanak-kanak dan dikarang oleh Darulsalam serta terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Bercuti ke Pulau Sayak menceritakan kisah seorang budak lelaki bernama Syahid bersama-sama dengan rakannya. Mereka bercuti ke Pulau Sayak dan terlibat dengan satu kumpulan penyeludup tanpa disedari namun nasib mereka baik kerana akhirnya mereka berjaya menewaskan kumpulan itu.

Latihan 6

Pembangunan yang dicapai oleh Malaysia begitu pesat. Kepesatan ini berlaku sejak beberapa tahun yang lalu. Kestabilan ekonomi Malaysia pula berterusan. Faktor-faktor ini mendorong rakyat asing datang ke sini. Kedatangan mereka adalah untuk mencari rezeki. Dengan memiliki taraf kerakyatan, mereka dapat menikmati pelbagai keistimewaan yang disediakan. Keistimewaan-keistimewaan itu dipandang ringan oleh segolongan rakyat asing. 

Pembangunan yang dicapai oleh Malaysia begitu pesat sejak beberapa tahun yang lalu dan kestabilan ekonomi Malaysia pula berterusan. Faktor-faktor ini mendorong rakyat asing datang ke sini untuk mencari rezeki. Dengan memiliki taraf kerakyatan, mereka dapat menikmati pelbagai keistimewaan yang disediakan namun dipandang ringan oleh segolongan rakyat asing. 

Latihan 7

Pencemaran alam berlaku pada tahap yang serius. Keadaan ini mencemaskan manusia di seluruh dunia. Pencemaran tersebut berpunca daripada sifat haloba manusia. Manusia memperlakukan bumi sewenang-wenangnya. Tujuan mereka berbuat demikian adalah untuk mengaut keuntungan. Pencemaran alam ini mengakibatkan berlakunya pelbagai fenomena ganjil. Fenomena-fenomena tersebut termasuklah peningkatan suhu dan penipisan lapisan ozon.

Pencemaran alam berlaku pada tahap yang serius dan mencemaskan manusia di seluruh dunia. Pencemaran tersebut berpunca daripada sifat haloba manusia yang memperlakukan bumi sewenang-wenangnya untuk mengaut keuntungan. Pencemaran alam ini mengakibatkan berlakunya pelbagai fenomena ganjil termasuklah peningkatan suhu dan penipisan lapisan ozon.

Latihan Tatabahasa dan Istilah

Setiap ayat mengandungi satu kesalahan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Betulkan ayat tersebut dengan menulis semula ayat tersebut. 

1. “Adakah menu yang dihidangkan oleh tukang masak di hotel itu?” tanya para peserta perlawanan memasak yang dianjurkan oleh hotel tersebut. 

Adakah       - apakah
perlawanan - pertandingan

2. Bapa saudaranya memperoleh pendapat yang agak lumayan hasil jualan pisang goreng yang dia     buat. 

pendapat         - pendapatan
pisang goreng - goreng pisang

3. Biarpun wajah kedua-dua pemuda itu agak sempadan, tetapi perangai pemuda bertubuh gempal itu lebih baik dari seorang pemuda lagi. 

sempadan - sepadan
dari          -  daripada

4. Seorang pegawai tinggi syarikat itu telah didakwa di mahkamah di atas tuduhan memalapkan wang syarikat tersebut. 

di atas tuduhan  - atas tuduhan
memalapkan     - menggelapkan

5. Azmir tidak melepaskan peluang untuk menyertai pertandingan menjajah ke seluruh negeri Melaka yang syarikat itu anjurkan.  

menjajah                            - menjelajah
yang syarikat itu anjurkan - yang dianjurkan oleh syarikat itu      
   
6. Beribu ayam ternakan dimusnahkan oleh kerajaan Mexico akibat sindrom selsema burung yang     menyerang di beberapa buah daerah di negara itu. 

Beribu            - beribu-ribu
dimusnahkan  - dibunuh

7. Semua mangsa tsunami dipindahkan oleh kami ke pusat petempatan sementara sebaik-baik     menerima arahan daripada pihak berkuasa.

dipindahkan oleh kami  - kami pindahkan
petempatan                    - penempatan

 8. Buku-buku Syarikat Maju Jaya paling laris sekali jualannya kerana penulis-penulis di syarikat tersebut begitu mengutamakan kuantiti. 

paling laris sekali  - paling laris
kuantiti                  - kualiti

9. Setelah meneliti semua syarat-syarat yang ditetapkan di dalam surat perjanjian oleh peguam,     akhirnya Muzammil bersetuju untuk menulis surat perjanjian tersebut. 

semua syarat-syarat  - semua syarat
menulis                     - menandatangani

10. Buku itu telah saya hantar ke pengirimnya semalam mengikut alamat yang tercatat pada bungkusan buku tersebut. 

ke          - kepada
tercatat  - tertera

11. Sebelum mesyuarat pada hari itu berakhir, pengerusi mesyuarat telah meminta pandangan ahli yang hadir untuk membincangkan lain-lain hal dan seterusnya menunda mesyuarat tersebut. 

lain-lain hal  - hal-hal lain
menunda      - menamatkan

12. Pada hari ini, masalah penggunaan dadah di kalangan remaja semakin membimbangkan dan jalan penyelesaian perlu segera diambil. 

penggunaan               - penyalahgunaan
perlu segera diambil  - perlu diambil dengan segera

13. Pada masa kini, bangunan-bangunan lama di kawasan bandar yang sudah buruk akan dibaik pulih bagi menarik kehadiran pelancong ke negara kita.

dibaik pulih  - dibaikpulih
kehadiran     -  kedatangan

14. Pemilik kilang yang masih berdegil kerana membuang sisa toksik ke dalam sungai akan      disenaraihitam supaya menjadi teladan kepada pekilang yang lain. 

disenaraihitam  - disenaraihitamkan
teladan              - amaran

15. Remaja yang menunggang motosikal di lebuh raya itu saling potong-memotong tanpa memikirkan takat keselamatan diri mereka sendiri. 

saling potong-memotong  - saling memotong
takat                                  - faktor

16. Ayah sangat gemarkan makanan yang dimasak oleh ibu terutamanya ayam goreng yang dibaluti  tepung itu. 

gemarkan  - gemar akan
dibaluti     - disaluti

17. Berdasarkan kepada maklumat yang diberi oleh orang awam, akhirnya penjenayah berbahaya itu berjaya ditangkap dan didakwa di muka perbicaraan. 

diberi        - diberikan
ditangkap  - diberkas

18. Peminat bola sepak itu sedang membincangkan tentang corak permainan yang ditunjukkan oleh kedua-dua buah kumpulan bola sepak dari luar negara. 

membincangkan tentang  - membincangkan corak
peminat                            - penggemar

19. Mereka-mereka yang hadir ke majlis makan malam perdana pada malam itu dihiburkan dengan petikan biola oleh seorang ahli muzik tanah air yang amat terkenal.

Mereka-mereka  - mereka
petikan               - gesekan
 
20. Pihak polis di negara tersebut sedang giat memburu sekumpulan penjenayah yang dipercayai masih berada pada ibu negara berkenaan. 

memburu  - menjejaki
pada          - di

21. Seorang daripada peserta kereta lumba itu telah menarik diri daripada pertandingan kerana dua butir tayar kereta yang dipandunya meletup. 

kereta lumba  - lumba kereta
butir               - buah

22. Tiap pagi hari minggu, ibu akan membangunkan kami daripada tidur dan mengajak kami berjoging di taman yang berhampiran.

Tiap          - tiap-tiap
berjoging  - bersenam

 23. Pekerja di kilang menjahit songket itu memberi syarahan kepada kami tentang perjalanan kilang tersebut sebaik sahaja kami sampai di situ. 

syarahan  - taklimat
menjahit  - menenun

24. Mereka menempuh berbagai cabaran sejak ketua keluarga itu tidak bekerja kerana terlibat dalam kecederaan.

berbagai      - berbagai-bagai
kecederaan  - kemalangan

25. Kami amat terkejut bila mendapat tahu bahawa ada seekor lembu mati kerana digiling kereta api di kawasan landasan itu. 

bila        - apabila
digiling  - digilis

26. Terdapat beribu ekor rusa telah dipelihara di kawasan ternakan Pulau Kerdas. 

beribu       - beribu-ribu
dipelihara  - dibela

27. Pekerja yang mengambil cuti itu menjatuhkan tandatangan kepada borang di atas meja tersebut sebelum menyerahkan borang itu kepada pengurusnya.

menjatuhkan  - menurunkan
kepada           - ke

28. Ibu menghadiahkan kakak sebuah telefon tangan kerana mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. 

menghadiahkan  - menghadiahi
telefon tangan     - telefon bimbit

29. Setengah penonton yang tidak berpuas hati telah membaling objek seperti botol apabila para pemain gagal memasukkan gol. 

Setengah        - sesetengah
memasukkan  - menjaringkan

30. Pegkaji di hospital itu telah mengemukakan sebuah pendapat bagi membendung wabak selsema burung daripada meluas kepada orang ramai. 

Pengkaji  - penyelidik
kepada     - ke

31. Adalah dimaklumkan bahawa pertunjukan pakaian ini akan dirasmikan oleh seorang tokoh perniagaan yang terkenal. 

pakaian                       - fesyen
Adalah dimaklumkan - Dengan ini dimaklumkan

32. Rakyat Malaysia perlu berusaha mengekalkan kemerdekaan negara dari masa ke semasa agar       tanah air yang tercinta ini tidak akan dijelajah lagi.

masa ke semasa  - semasa ke semasa
dijelajah             - dijajah

33. Rakyat disuruh membeli barangan tempatan demi untuk mengurangkan pegerakan wang ke luar negara. 

demi untuk  - demi untuk
pergerakan  - pengeluaran

34. Anggota pasukan keselamatan itu sanggup bergadai nyawa demi mempertahankan tanah air kita dari ancaman musuh. 

dari          - daripada
bergadai  - bertaruh

35. Kebanyakan peserta-peserta yang menyertai acara lumba basikal itu terpaksa melalui jalan yang berbelok-belok sebelum tiba ke garisan penamat. 

Kebanyakan peserta-peserta  - kebanyakan peserta
berbelok-belok                       - berliku-liku

36. Para peserta yang menyertai perlawanan memasak tersebut akan disediakan dengan berapa jenis bahan masakan di ruang masakan itu.

perlawanan  - pertandingan
berapa          - beberapa

37. Perdana Menteri menggesa pemaju-pemaju perumahan agar mempercepatkan kerja-kerja       pembinaan rumah kos bawah yang masih terbengkalai. 

bawah                   - rendah
mempercepatkan  - mempercepat

38. Menurut Badan Pencegah Rasuah, kejayaan perumahan itu ialah disebabkan oleh kelemahan       pengurusan syarikat terbabit.

ialah  - adalah

 39. Nama julukan artis yang terkenal itu adalah Mawi. 

julukan  - jolokan
adalah    - ialah

40. Walaupun Rajagopal cuba untuk menyembunyikan perbuatan jenayah yang dia lakukan, namun perbuatan jahatnya itu terbungkam juga. 

dia lakukan  - dilakukan olehnya
terbungkam - terbongkar

41. Bagi mengatasi masalah pencemaran alam sekeliling, pihak berkuasa perlu memberi pendidikan yang sewajarnya pada orang ramai.

sekeliling  - sekitar
pada          - kepada

42. Tapak sisih yang dibawa oleh rombongan pengantin lelaki itu telah mereka serahkan kepada pihak pengantin perempuan. 

Tapak sisih           - tepak sirih
mereka serahkan  - diserahkan oleh mereka

43. Pengetua telah mengakui bahawa salinan sijil yang pemuda itu tunjukkan adalah benar setelah       melihat sijil asal yang dikemukakan. 

mengakui                     - mengesahi
pemuda itu tunjukkan  - ditunjukkan oleh pemuda itu

44. Jabatan Perhilitan akan mengadakan penyiasatan untuk mendapatkan maklumat tentang kepupusan beberapa jenis burung di negara kita dalam tempoh satu setengah tahun. 

penyiasatan              - penyelidikan
satu setengah tahun  - satu tahun setengah

45. Para budayawan mestilah memerah minda untuk sama-sama memikir dan mencari jalan untuk       mengatasi masalah pendidikan di negara kita. 

budayawan  - cendekiawan
memikir      - memikirkan

46. Jika sekiranya surat itu hendak dikirim nanti, anda hendaklah menggunakan khidmat pos segera.

Jika sekiranya  - jika / sekiranya
pos segera        - pos laju
 
47. Ini kerana cara ini lebih selamat dan mereka dapat menyiapkan tugasan itu dalam tempoh yang
     singkat. 

Ini kerana  - ini sebab
selamat      - cepat

48. Sehubungan itu, beliau meminta ibu bapa dan pelajar terlibat supaya bersabar menunggu keputusan yang bakal di buat pada minggu hadapan. 

Sehubungan itu  - sehubungan dengan itu


49. Tumpuan kini ialah ke arah mempertingkatkan kemahiran dan keterampilan pekerja dari masa ke semasa hingga mencapai satu tahap yang dikehendaki. 

masa ke semasa  - semasa ke semasa
Tumpuan            - tumpuan

50. Kerajaan menyarankan agar pengilang dan pengusaha Malaysia sentiasa menjalankan penyelidikan dan menggunakan teknologi terkini untuk meningkatkan mutu barang keluaran mereka.