Friday, 14 April 2017

LATIHAN KOMSAS MRSM


PETIKAN PROSA MODEN

i) Pandangan Ahmad Mutawakkil terhadap orang Melayu termasuklah sifat Melayu yang mengamalkan prinsip orang berbudi kita berbahasa. Selain itu, orang Melayu tidak menyukai permusuhan dan lebih menggalakkan persahabatan.

ii) Pada pendapat saya, perkara yang perlu dilakukan untuk mengelakkan penjajahan semula kuasa asing adalah dengan membina jati diri pemuda dan pemudi. Selain itu, integrasi kaum wajarlah dibentuk untuk mengelakkan perpecahan. Di samping itu, semangat patriotik perlulah disemarakkan. Akhir sekali, pemimpin sewajarnya menjalankan hubungan diplomatik dengan negara maju yang lain.

iii) Antara persoalan yang terdapat dalam petikan cerpen di atas termasuklah sikap peramah dan keakraban antara penduduk kampung seperti Tuan Booth yang akan ke surau untuk berbual dengan Imam Ngah Deraman dan Penghulu Ibrahim Sigap. Persoalan yang tidak terdapat di dalam cerpen pula adalah semangat patriotisme dalam perjuangan mendapatkan kemerdekaan
tamsilnya Ahmad Mutawakkil menyeru ahli masyarakat agar mengikis tabiat buruk,  berjuang mengubah sikap dan pandangan sempit bangsa Melayu untuk merdeka.

PETIKAN PROSA TRADISIONAL

i) menyuruh berlengkap bermaksud melakukan persediaan.

ii) Tindakan Sidi Arab setelah mendengar khabar Cau Pandan akan menyerang Melaka adalah beliau lantas berdiri di hadapan baginda Sultan Muzaffar Shah. Kemudian, Sidi Arab menghalakan panah ke Benua Siam dan bertekad untuk membunuh Cau Pandan sambil menarik panahnya.

iii) Antara dua ikhtiar yang boleh dilakukan oleh seorang pemerintah untuk mengelakkan negaranya daripada terlibat dengan peperangan termasuklah menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara-negara lain untuk mendapatkan bantuan ketenteraan dan ekonomi. Selain itu, pemerintah perlu berusaha memantapkan perpaduan antara masyarakat berbilang kaum untuk mengelakkan perpecahan dan pembocoran maklumat.

SYAIR

i) Keadaan rakyat di Negeri Kembayat apabila diserang oleh burung garuda adalah huru hara kerana negeri menjadi gundah gulana dan sekalian rakyat melarikan diri ke merata-rata tempat.

ii) Pada pendapat saya, persediaan yang perlu dilakukan untuk meghadapi musibah di sesebuah negara adalah dengan menyediakan pertahanan yang kukuh dan sistematik. Selain itu, pemimpin juga perlu bersikap bijaksana merancang strategi untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Akhir sekali, sesebuah negara wajarlah mempunyai bekalan makanan dan kelengkapan perubatan yang secukupnya.

iii) Salah satu perwatakan Raja Negeri Kembayat ialah keadilan iaitu sikap adil dan kecemerlangan baginda berjaya menarik kedatangan para pedagang dan orang soleh. Selain itu, Raja Negeri Kembayat juga merupakan pemerintah yang berwaspada kerana  baginda sentiasa memikirkan persediaan untuk menghadapi sebarang kebarangkalian pada masa hadapan walaupun telah dilimpahkan kekayaan dan kesenangan.

NOVEL

a)
Novel yang telah saya kaji ialah Tirani karya Beb Sabariah. Pengarang telah memaparkan beberapa latar tempat yang menerangkan peristiwa penting dalam novel ini.

Antara latar tempat yang ditonjolkan dalam novel ini adalah Tajau Emas iaitu homestay yang diusahakan oleh Waheeda dan keluarganya untuk mempamerkan kebudayaan di negeri Sarawak. Homestay tersebut mendapat sambutan yang hangat terutamanya ketika waktu cuti. Ibu Waheeda iaitu Puan Raidah bekerja sebagai tukang masak manakala ayahnya, Encik Fadhil bekerja sebagai pemandu pelancong. Waheeda berjaya memajukan perusahaan homestay tersebut dan menjalankan hubungan bisnes dengan cawangan hotel lain seperti Seri Gading.

Seterusnya, latar tempat Silicon Medical Centre di Singapura juga dipamerkan dalam novel oleh pengarang. Waheeda telah berangkat ke Singapura untuk menjalankan pembedahan plastik ke atas hidungnya yang telah diserang oleh monyet. Di hospital tersebut, Waheeda telah berjumpa dengan Dr. Rushdi yang bertanggungjawab ke atas pembedahannya.Waheeda berkunjung ke hospital tersebut buat kali kedua untuk membetulkan tulang hidungnya yang runtuh.

b)
Novel yang telah saya kaji ialah Tirani karya Beb Sabariah. Salah satu perwatakan yang memberikan impak negatif dan tidak wajar dicontohi ialah watak Zahid yang bersifat buruk sangka dan menghina ciptaan tuhan.

Peristiwa yang membuktikan perwatakan ini adalah apabila Zahid berasa tidak senang akan kelahiran anaknya, Izati dan telah melemparkan kata-kata yang tidak sepatutnya kepada Waheeda dan bayi yang tidak berdosa itu, Zahid telah memarahi Waheeda dengan menuduhnya mengadakan hubungan dengan lelaki lain tanpa sebarang penjelasan atau soal selidik terlebih dahulu. Hal ini didorong oleh perasaan cemburu dan sikap Zahid yang panas baran. Oleh hal yang demikian, dia telah melukakan hati Waheeda dan menceraikannya dengan talak satu.

Bukan itu sahaja, Zahid tidak boleh menerima kenyataan bahawa Izzati merupakan anak kandungnya kerana rupa bayi tersebut yang hodoh dan tidak comel seperti yang disangkakan. Sikap Zahid yang tidak bersyukur dengan anugerah Tuhan yang telah dikurniakan haruslah dijauhi. Dia telah mencerca Izzati di hadapan bayi tersebut dan tidak mengaku bahawa itu anaknya walaupun sudah ada bukti.  Natijahnya, dia telah mengabaikan Izzati dan Waheeda.



No comments:

Post a Comment