Monday, 13 March 2017

PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM2016 ( MELAKA)

BAHAGIAN A

LANGKAH-LANGKAH MEMAJUKAN BIDANG SUKAN DI NEGARA KITA


Marcapada, perkembangan sukan di negara kita semakin pesat dan menjadi tumpuan di peringkat global. Kejayaan wira negara dalam arena sukan di peringkat antarabangsa berjaya mengharumkan nama negara dan mengangkat Malaysia di mata dunia. Walau bagaimanapun, Malaysia masih memerlukan banyak pelapis dan kemajuan dalam bidang sukan untuk berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara lain. Terdapat banyak langkah proaktif yang boleh diambil untuk memajukan bidang sukan di negara kita.

            Salah satu langkah untuk memajukan arena sukan di negara kita adalah dengan menyediakan latihan secara intensif. Hal ini adalah penting untuk mempersiapkan atlet dalam pertandingan dan agar mereka dapat menumpukan perhatian yang sepenuhnya.  Sebagai buktinya, atlet perlu dilatih oleh jurulatih profesional secara kerap dan konsisten. Walaupun latihan intensif menggunakan kos yang agak tinggi namun hasilnya amat memuaskan bak kata leluhur alah membeli, menang memakai. Teranglah bahawa latihan intensif adalah salah satu penyumbang kepada kemajuan arena sukan Malaysia.

            Selain itu, para atlet juga perlulah diberikan pendedahan dalam kejohanan antarabangsa agar mereka mempunyai pengalaman yang secukupnya bak kata cendekiawan jauh perjalanan, luas pandangan. Isu ini perlu diketengahkan kerana belakangan ini terdapat banyak kejohanan antarabangsa yang menawarkan pulangan yang lumayan dan dapat mengangkat nama Malaysia ke persada dunia. Tamsilnya, pertandingan antarabangsa seperti Sukan SEA, Olimpik dan Sukan Komanwel. Penglibatan sukan dapat menjadikan Malaysia lebih mahsyur apabila kita berjaya memenangi pingat atau menunjukkan prestasi permainan yang mengagumkan. Jelaslah bahawa pendedahan tentang pertandingan antarabangsa merupakan aspek penting untuk memajukan bidang sukan Malaysia.

            Bukan itu sahaja, pihak berkenaan iaitu Kementerian Belia dan Sukan wajarlah menyediakan prasarana yang mencukupi agar latihan yang dijalankan lebih berkualiti. Perkara ini perlu diambil serius kerana masih ada pusat sukan yang tidak dilengkapi dengan prasarana dan kemudahan yang mencukupi membuatkan latihan tidak dapat dijalankan dengan efisien. Contohnya prasarana seperti gelanggang, kelengkapan dan alatan sukan perlulah diselenggara secara berkala supaya prestasi sukan dapat ditingkatkan. Sudah terang lagi bersuluh bahawa faksiliti dan prasarana merupakan elemen penting dalam melahirkan atlet yang berkualiti.

            Akhir sekali, bidang sukan dapat dimajukan dengan menyediakan imbuhan yang lumayan bagi menarik lebih ramai orang untuk menceburi profesion sukan. Hal ini dikatakan demikian kerana semangat kesukanan yang tinggi akan meningkatkan persaingan untuk mendapatkan kemenangan. Oleh itu, imbuhan yang lumayan akan membuatkan atlet lebih bersungguh-sungguh untuk menjadi juara. Sebagai misalannya, pihak kerajaan boleh menyediakan ganjaran seperti wang ringgit, basikal atau tiket pelancongan. Tegaslah bahawa, imbuhan yang lumayan juga dapat meningkatkan prestasi para atlet dan meningkatkan semangat kesukanan.

            Konklusinya, semua pihak seyogianya berganding bahu dalam menjalankan usaha prakmatik untuk memajukan arena sukan Malaysia bak kata leluhur ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni. Inisiatif yang dicadangkan diharapkan agar dapat melahirkan atlet yang berkualiti dan merealisasikan impian Malaysia untuk menjadi setaraf dengan negara lain dalam bidang sukan sesuai dengan slogan “majulah sukan untuk negara”.



BAHAGIAN B
Anda ingin menyertai pertandingan menulis esei bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan di tempat anda. Tajuk yang anda pilih ialah “ Ke Arah Melahirkan Patriotisme dalm Kalangan Masyarakat”. Tulis esei anda selengkapnya.
           Dasar warsa, patriotisme yang didefinisikan sebagai semangat cinta akan negara dalam kalangan masyarakat kian luntur dek kemodenan dan kemajuan yang kian pesat. Natijahnya, masyarakat Malaysia semakin lupa akan pengorbanan para pejuang bangsa untuk membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajah. Isu nasionalisme sering menjadi polemik di media massa sama ada media cetak mahupun media elektronik. Kelunturan semangat patriotik amat membimbangkan kerana perasaan cinta akan negara dan jati diri anak watan semakin terhakis maka wujudlah kemelut sosial dan masalah seperti penyalahgunaan dadah dan pembuangan bayi yang timbul bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Oleh itu, usaha prakmatik perlu diambil ke arah melahirkan patriotisme dalam kalangan masyarakat 1Malaysia.
            Salah satu langkah proaktif yang wajar dilaksanakan untuk memupuk patriotisme adalah melalui peranan ibu bapa. Hal ini dikatakan demikian kerana ibu bapa merupakan insan yang paling rapat dengan anak-anak dan tonggak utama untuk membentuk peribadi mereka. Ibu bapa sewajarnya menjadi suri teladan kepada anak-anak bak kata leluhur ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Misalannya ibu bapa boleh membawa mereka melawat tempat bersejarah seperti Kota A’ Famosa atau Tugu Negara supaya dapat mendedahkan anak-anak kepada perjuangan dan pengorbanan tokoh bersejarah suatu masa dahulu. Bukan itu sahaja, ibu bapa juga boleh membelikan buku atau DVD yang bertemakan nasionalisme supaya dapat menanam semangat cinta akan tanah air dalam diri mereka. Teranglah bahawa ibu bapa memainkan peranan penting untuk memupuk patriotisme dalam diri anak-anak.
            Seterusnya, semangat patriotik dapat disemarakkan lagi melalui peranan guru dan pihak sekolah. Perkara ini adalah kerana masa banyak diluangkan di sekolah atau institusi pelajaran. Oleh sebab itu, pihak sekolah memainkan peranan yang besar dalam membentuk semangat cinta akan negara sejak bangku sekolah lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Penerapan nilai patriotik boleh disampaikan melalui matapelajaran sejarah dan pendidikan sivik dan kewargenegaraan yang banyak mengajar tentang sejarah kemerdekaan dan pengorbanan tokoh. Pihak sekolah juga boleh mengadakan pertandingan yang bertemakan kemerdekaan seperti pidato, syarahan, bahas, melukis poster dan video pendek. Aktiviti yang menarik dan ganjaran yang lumayan semestinya akan menarik minat pelajar di samping mendedahkan mereka tentang perjuangan tokoh lampau dalam membebaskan tanah air dari penjajahan. Nasionalisme juga dapat disemarakkan lagi melalui sambutan hari kemerdekaan pada 31 ogos setiap tahun dengan menghias kawasan sekolah dan menayangkan video tentang kemerdekaan. Jelaslah bahawa pihak sekolah perlu mengambil inisiatif dalam menyemai patriotisme dalam kalangan pelajar.
Di samping itu, pihak bertanggungjawab juga boleh memanfaatkan media massa sebagai medium penyebaran semangat nasionalisme memandangkan dunia kini lebih cenderung ke arah teknologi yang menjadi semakin canggih dari semasa ke semasa. Oleh hal yang demikian, cerita tentang tokoh kemerdekaan dan peritstiwa bersejarah dapat diwar-warkan dengan lebih cepat dan meluas. Sebagai tamsilnya, tayangan video yang berunsurkan kemerdekaan seperti cerita “Bravo”, “Bukit Kepong” dan “Paloh” menyampaikan mesej-mesej kemerdekaan yang berjaya membuka mata anak muda tentang perjuangan wira negara dan pertumpahan darah yang telah berlaku pada suatu masa dahulu. Nasionalisme juga boleh disebarkan melalu penulisan seperti akhbar, puisi, majalah dan bahan bacaan ilmiah sekaligus dapat memupuk minat membaca bak kata cendekiawan menyelam sambil minum air.Kesedaran seperti ini akan membuatkan semangat cinta akan negara dalam diri masyarakat semakin menebal agar penjajahan dan penindasan tidak akan berulang. Tegaslah bahawa, penggunaan media massa sebagai platform penyebaran maklumat berkaitan dengan semangat patriotisme ini akan memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan  semangat patriotik demi keamanan negara.
Selain itu, pihak kerajaan dan masyarakat setempat juga boleh mengadakan kempen secara besar-besaran untuk memberi kesedaran kepada rakyat tentang pengorbanan pejuang negara dan perit getir yang telah dilalui demi memperjuangkan kemerdekaan sehingga kita dapat hidup dengan aman damai pada masa kini. Isu ini amat penting kerana kita seharusnya menghargai pertumpahan darah mereka suatu ketika dahulu. Pelbagai pertubuhan dan program yang boleh dilakukan terutamanya pada bulan kemerdekaan seperti Sambutan Hari Kemerdekaan peringkat kebangsaan yang diadakan di Stadium Merdeka. Semasa sambutan tersebut, Jalur Gemilang akan dikibarkan, lagu patriotik didendangkan dan perbarisan prajurit negara dipersembahkan yang semestinya dapat menyentuh jiwa merdeka dan menitiskan air mata syukur. Patriotisme boleh disemarakkan lagi jika masyarakat 1Malaysia berganding bahu menyokong kempen dan prakarsa yang dilaksanakan oleh kerajaan seperti kempen “Kibar Jalur Gemilang” dan Hari Malaysia . Izharlah bahawa kesedaran masyarakat dapat ditingkatkan melalui sambutan Hari Kemerdekaan dan kempen. Jelaslah bahawa, inisiatif pihak kerajaan merupakan aspek penting untuk mengekalkan semangat nasionalisme bangsa 1Malaysia.
Akhir sekali, penduduk kampung dan kawasan kejiranan sewajarnya bersifat bagai aur dengan tebing bagi memeriahkan kawasan tempat tinggal dengan menggunakan jalur gemilang sebagai hiasan atau menghadirkan diri ke sambutan kemerdekaan. Pelbagai pertubuhan boleh dibentuk dengan melibatkan para belia seperti mengadakan kutipan dana kepada bekas askar dan keluarga mereka bagi memperingati dan menghargai budi yang telah ditabur kepada negara. Tambahan pula, aktiviti yang dilakukan bersama-sama dapat mewujudkan integrasi nasional kerana Malaysia terdiri daripada masyarakat majmuk yang berbilang kaum. Apabila masyarakat berpegang teguh kepada frasa “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh” maka perpaduan yang kukuh akan menghalang anasir jahat dari pada menjajah ibu pertiwi buat kali kedua, Sudah terang lagikan bersuluh bahawa perpaduan dan kerjasama masyarakat setempat dalam menyemarakkan nasionalisme akan membuatkan Malaysia kekal aman dan sentosa.
Intihanya, masyarakat 1Malaysia seyogianya bersatu padu ke arah menanam semangat patriotik dalam kalangan masyarakat bak kata leluhur berat sama dipikul, ringan sama dijinjing agar tanah air kita tidak berada di bawah cengkaman komunis. Penjajahan pada masa lampau selama beratus tahun wajarlah menjadi iktibar kerana Ibnu Khaldun pernah menekankan bahawa sesiapa yang melupakan sejarah akan mengulanginya. Jika Malaysia jatuh ke tangan yang salah maka kebebasan tidak akan dirasakan lagi. Oleh itu, kita perlulah mempertahankan kemerdekaan dengan menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat dan semoga Malaysia kekal aman dari segala ancaman.